Monatsarchiv für July 2006

 
 

kesakitan untuk melupakan

“Aku baca lagi. :-( ” Aku menyatakan kepada seorang kawan.

“Berapa kali aku mahu cakap. Jangan baca, jangan buat kalau benda itu akan buat kau bersedih.” Dia membuka mulut, mula membebel walaupun sekadar di YM. Aku senang sekali apabila dia mula membebel, memberi hujah-hujahnya.

Aku sudah cuba untuk tidak membaca dan tidak membuat perkara yang memberi kesedihan pada aku.  Tapi hati seperti menarik aku untuk ke situ. Mengikat untuk terus membaca dan mengetahui. Aku perlukan kesakitan, untuk melupakannya. Aku perlukan kesakitan, untuk melupakannya. Dan aku perlukan kesakitan, untuk melupakannya.

Ya, aku perlu membiarkan hati aku menggelupur kesakitan untuk membenci. Walaupun aku tahu kebencian itu hanya menambah kesan hitam dalam jiwa. Namun aku masih memerlukannya. Sedikit.

Aku masih memerlukan cerah bulan walaupun sudah ada lampu dijalanan.

Dia menyebut nama aku

Seperti satu keajaiban bila mana dia menyebut nama aku pagi semalam. Aku terkejut. Selama ini aku merasakan dia tidak mengetahui nama aku. Ya, selama aku di sini, di dalam kiub-kiub kecil dan dia berada di dalam kiub yang besar. Dan pagi semalam, aku betul-betul terkejut tetapi masih pura-pura nampak biasa. Takut dia pula yang terkejut.

Aku tersenyum girang pagi semalam. Semua kerja dirasakan menjadi begitu baik. Tak sangka! Dia yang sentiasa mencebik dan tidak pernah melemparkan senyuman kepada aku, tiba-tiba saja menyebut nama aku.

Dan malamnya, aku mendapat berita tentang dia.  Akan berpindah dari sini sebulan lagi. Aku diam. Oh! Dia sedang menghafal semua nama untuk mengucapkan salam perpisahan?


-->