Archiv der Kategorie ‘cerekarama‘

 
 

Cerekarama: Tulip kuning untuk Laili - Part I

Kami tiba di Lapangan Terbang Schiphol tiga jam awal daripada waktu berlepas. Wajah Laili muram walaupun dia cuba untuk tersenyum seperti selalu. Aku tahu Laili terlalu sedih untuk meninggalkan bumi Amsterdam. Atau mungkin untuk meninggalkan aku. Hari ini Laili akan pulang ke Malaysia setelah pengajiannya tamat. Dan selepas ini aku tinggal seorang kembali. Menjalani kehidupan seperti sebelum kedatangan Laili ke sini. Bekerja seperti esok tidak akan datang.

Selesai di kaunter check in, aku mengajak Laili minum. Sekadar membuang masa yang terluang. Laili menggelengkan kepala. Menolak ajakan aku.

“Aku masuk dulu.” Kata Laili tiba-tiba. Aku terkejut.

“Awalnya? Flight kau lambat lagi, Laili.” Aku renung Laili. Wajahnya tidak ceria. Laili memang tidak pandai sembunyikan perasaannya. Aku menarik nafas. Dalam-dalam.

“Laili, kalau hal tempoh hari membuatkan kau berjauh hati dengan aku. Aku minta maaf.”

Laili menunduk.

“Laili, kau memang baik. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti, hati aku terbuka kembali. Aku akan memilih kau.”

“Bila suatu hari itu, Hadi?”

Giliran aku pula untuk diam.Tidak berani untuk berjanji. Laili sebenarnya memahami apa yang ada di dalam hati aku. Empat tahun kami bersahabat di kota sex ini. Berjauhan dengan keluarga membuatkan kami rapat dan mengambil berat antara satu sama lain. Tentunya Laili memahami aku sebagaimana aku memahami dia.

Laili juga sudah mengetahui kenapa aku berada di sini untuk sekian lamanya. Laili tahu kenapa aku melarikan diri daripada kenyataan. Laili tahu kenapa aku masih tidak mampu mengosongkan ruang hati aku untuk sesiapa. Tetapi Laili masih juga mahu mencuba.

“Hadi, kalau kau boleh beri ruang kosong dalam hati kau untuk aku, aku akan cancelkan flight ini. Aku akan cari kerja di sini dan hidup bersama kau.”

“Aku tidak berani janji pada kau, Laili. Aku tak berani janji.”

Aku mengeluh. Luka ini masih berdarah lagi, Laili. Luka yang diberikan oleh Alya masih belum sembuh di dalam hati ini. Biarpun bertahun-tahun aku cuba untuk melupakan namun Alya masih ada dalam diri aku. Alya memang perempuan kejam. Setelah menghancurkan hati aku, dia hantui kehidupan aku.

“Aku akan tetap menunggu kau sehingga waktu itu tiba.” Kata Laili seraya berpusing dan meneruskan langkah. Aku terkejut dengan tindakannya.

“Laili! Laili!” Aku memanggil Laili. Tetapi Laili tidak berpaling. Dia terus menuju ke pintu balai berlepas. Aku tidak mengejar Laili. Hanya mata aku menghantar Laili yang semakin laju melangkah. Aku tahu dia kecewa dengan sikap aku. Tapi kecewa yang diberikan oleh Alya lebih dalam lagi.

Maafkan aku, Laili. Aku janji. Jika hati ini terbuka suatu hari nanti, aku akan mencari kau.

*Credit Photo : Google.

Langit belum mendung, maka bergembiralah

Alamanda. Petang Ahad yang tanpa disangka. Aku ternampak seseorang sedang menolak stroller dan disebelahnya seorang perempuan. Hanya beberapa meter dari aku. Seseorang itu adalah yang pernah berada di dalam hati aku suatu ketika dulu. Dan sudah hampir lima tahun kami tidak bertemu. Semenjak peristiwa luka di restoran Madam Kwan’s.

“Ini adalah yang terakhir. Selepas ini kita bawa haluan masing-masing.” Kata aku. Kami saling berpandangan. Buat kali terakhir.

Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan.

Oh, itu cerita lima tahun lepas.  Cerita di mana dia memilih untuk tidak membuang emak dan saudara. Tetapi membuang kasih aku. Mungkin pilihan keluarga itu lebih tepat. Entah, aku tidak tahu.

Petang Ahad itu, selepas lima tahun - telah membuktikan dunia ini kecil sebenarnya. (Dan pilihan keluarga itu selalunya tepat.)

Kami hanya saling bertukar pandang. Tanpa suara. Tanpa senyum. Membiarkan ia berlalu. Seperti tidak pernah mengenali.

Ketika aku melepasi dia, aku menoleh. Tidak menyangka, dia juga menoleh. Berpandangan.

Akhirnya aku meneruskan langkah. Ah!Hidup ini  terlalu singkat untuk melakukan perkara yang sia-sia. Maka bergembiralah!


-->